Skip to main content

Advertisement

Malaysia

CIMB salur RM2.22 juta melalui program Harapan Ramadan 2026, sasar bantu 45,000 komuniti memerlukan

CIMB HARAPAN RAMADAN
Dari kiri: Pengerusi Yayasan Belia Malaysia, Datuk Suhaimi Ibrahim; Ahmad Shahriman Mohd Shariff; Senator Zulkifli Hasan; wakil CIMB Foundation, Aainaa Maimunah Mohd Amran; dan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Hasan Bahrom ketika membentangkan cek replika bagi program Harapan Ramadan 2026. - Foto CIMB

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Berhad dan CIMB Foundation memperuntukkan lebih RM2.22 juta bagi pelaksanaan program Harapan Ramadan 2026 yang menyasarkan bantuan kepada lebih 45,000 penerima daripada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic dan CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam memperkasa komuniti secara mampan melalui sokongan ekonomi serta peluang menjana pendapatan.

Advertisement

Menurutnya, pendekatan yang diambil bukan sekadar menyalurkan bantuan makanan sempena Ramadan, malah memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi komuniti melalui penglibatan perniagaan kecil tempatan dan usahawan mikro.

“Program Harapan Ramadan mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa komuniti secara bermakna dan mampan. Selain menyediakan bantuan jangka pendek, fokus kami adalah untuk memperkukuh penyertaan tempatan, menyokong sumber pendapatan dan mewujudkan peluang kepada individu serta perniagaan kecil untuk menjadi lebih berdaya tahan dari semasa ke semasa,” katanya.

Majlis pelancaran program turut disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan.

Melalui pelaksanaan tahun ini, kira-kira 100 kedai runcit kejiranan berhampiran kawasan agihan dilibatkan sebagai pembekal barangan kotak makanan, sekali gus membantu kelangsungan perniagaan kecil serta mengukuhkan rantaian ekonomi komuniti setempat.

Selain bantuan makanan, CIMB turut menyediakan dana permulaan RM1,000 kepada 50 usahawan mikro asnaf sebagai modal awal perniagaan sepanjang Ramadan, termasuk alumni program keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s dan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Bantuan turut merangkumi kotak makanan, elaun tunai atau duit raya, program iftar dan tazkirah, selain inisiatif membeli kelengkapan Aidilfitri untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pada majlis sama, kotak makanan turut diserahkan kepada 150 penerima daripada agensi barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia sebagai penghargaan terhadap khidmat mereka.

Bagi memupuk semangat kebersamaan, sukarelawan CIMB termasuk kakitangan cawangan turut terlibat dalam penyediaan dan pengagihan kotak makanan serta penganjuran majlis iftar di Program Perumahan Rakyat (PPR) angkat CIMB seperti Pinggiran Bukit Jalil, Lembah Subang, Perumahan Awam Seri Selangor dan Seri Alam.

Di peringkat serantau, inisiatif Ramadan CIMB turut diperluas melalui CIMB Niaga Syariah di Indonesia yang melaksanakan program iftar dan bantuan kepada rumah kebajikan serta anak yatim, manakala CIMB Singapore menggerakkan sukarelawan bagi menyediakan dan mengagihkan bantuan kepada warga emas dan keluarga berpendapatan rendah sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan.

“Dengan menggerakkan dana zakat wakalah, sumbangan korporat dan kerjasama bersama rakan komuniti, kami berhasrat memastikan manfaat program ini dapat dirasai oleh komuniti di Malaysia dan, secara berasingan, melalui inisiatif tambahan di Indonesia dan Singapura jauh melangkaui bulan Ramadan.

“Ini sekali gus mengukuhkan tujuan kami untuk Memajukan Pelanggan dan Masyarakat melalui tindakan praktikal yang membantu komuniti berkembang dan maju,” tambahnya.

Sejak diperkenalkan pada 2022, program Harapan Ramadan telah menyalurkan lebih RM8.7 juta dan memberi manfaat kepada lebih 174,000 penerima di seluruh negara, selain disokong oleh lebih 1,300 sukarelawan kakitangan CIMB.

Program ini merupakan sebahagian daripada agenda impak sosial CIMB yang menekankan keterangkuman kewangan serta pembangunan komuniti yang mampan.

Must Watch Video