KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung isu penjualan slot janji temu vaksinasi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menjelaskan siasatan mengenai perkara tersebut telah dilakukan seawal Jun lalu.

Selain itu beliau juga memaklumkan sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan juga telah ditubuhkan di bawah CITF yang dianggotai wakil dari CITF, PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC).

"Selain itu, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan 'Standby List' telah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

"Selain daripada memperkemaskan lagi pemantauan di PPV melalui Garis Panduan ini, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Khairy juga memaklumkan beberapa langkah segera yang diambil oleh PPV apabila menerima laporan kehadiran individu positif COVID-19 seperti menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit tersebut dan menjalakan ujian COVID-19 ke atas para petugas.

Beliau memaklumkan telah mengarahkan setiap PPV untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk PPV agar tiada individu berstatus risiko dibenarkan masuk.

"Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan orang ramai yang telah melakukan ujian COVID-19 untuk bertanggungjawab dan TIDAK hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan suntikan vaksin yang telah melepasi tarikh luput, Khairy menjelaskan siasatan mendapati perkara itu tidak benar.

"Secara ringkasnya, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu tersebut sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin yang telah diberikan untuk dos pertama. Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksa," katanya.

Jelas beliau, fakta tersebut disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksan dan kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara ini berlaku.