KUALA LUMPUR:Kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan empat angka dengan 1,290 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif adalah sebanyak 51,680 kes.

Daripada jumlah itu, dua negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi ialah Sabah sebanyak 660 kes diikuti Selangor (407 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, dalam tempoh 24 jam juga, negara merekodkan 878 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes  sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 38,132 kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, terdapat empat kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah kematian adalah sebanyak 326 kes.

Sementara, pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah seramai 110 orang di mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sehingga 19 November 2020, terdapat sebanyak 319 kluster telah dilaporkan. Pada hari ini, terdapat empat kluster baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 165 kluster.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (245 kes), Kluster Penjara Sandakan (215 kes) dan Kluster Kapas BJ (55 kes).

"Ingin dimaklumkan bahawa sebanyak enam (6) kluster telah tamat iaitu Kluster Umboo, Kluster Bah Mutiara, Kluster Khazanah, Kluster Jalan Pantai, Kluster Bah Bangat dan Kluster Bah Kasturi.

"Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 154 kluster," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Empat kluster baharu dikenal pasti pada Khamis adalah Kluster Kapas BJ di daerah Hulu Langat di negeri Selangor dan Kluster Prestij yang melibatkan pekerja-pekerja di sebuah syarikat pembersihan di daerah Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dua lagi kluster ialah Kluster Bah Bercham melibatkan daerah Kinta di negeri Perak dan Kluster Kiambang melibatkan daerah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan aplikasi MySejahtera telah banyak membantu Kementerian Kesihatan dalam mengesan kes-kes positif COVID-19 melalui dua kaedah iaitu penilaian kesihatan kendiri dan pengesanan kontak rapat melalui semakan data.

Ikuti perkembangan terkini COVID-19 di sini