KUALA LUMPUR : Jumlah jangkitan baharukes  COVID-19 yang dilaporkan hari ini mencatatkan penurunan berbanding semalam dengan 10,915 lagi kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Angka terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dicatatkan oleh negara ketika ini adalah 2,268,499 kes.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sarawak masih mencatatkan kes jangkitan baharu tertinggi dengan mencatatkan 2,121 kes diikuti Selangor yang mencatatkan 1,386 kes.

Kelantan menjadi negeri ketiga tertinggi kadar jangkitan baharu dengan merekodkan sejumlah 1,288 kes diikuti Johor 1,124 kes, Perak 862 kes, Terengganu 818 kes, Sabah 784 kes, Pulau Pinang 768 kes, Kedah 574 kes, Pahang 504 kes, Melaka 216 kes, Negeri Sembilan 211 kes, Kuala Lumpur 171 kes, Perlis 58 kes, Putrajaya 26 dan Labuan 4 kes.



Sementara itu, dalam kenyataan media hariannya, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 15,396 kes sembuh dilaporkan.

Jumlah kematian yang dicatatkan sehingga semalam pula adalah berjumlah 121 kes.

Daripada 10,915  kes harian yang dilaporkan pada Sabtu, 139 kes (1.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 10,776 kes (98.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Dalam pada itu, kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi adalah 888 kes dengan 484 kes daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 10 kluster baharu turut dikesan membabitkan Kluster Tempat Kerja, Kluster Komuniti dan Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi.

Tiga Kluster Tempat Kerja dikesan di Johor dan satu di Kelantan, manakala dua Kluster Komuniti dikesan di Kelantan, satu di Sarawak dan satu di Terengganu.

Manakala Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi pula dikesan di Pahang dan Perak.