KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 lagi kluster baharu dikesan di negara ini dengan sembilan daripadanya merupakan Kluster Tempat Kerja.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini meningkat kepada 868 kluster.

Beliau berkata, daripada jumlah Kluster Tempat Kerja, tiga dikesan di Selangor masing-masing membabitkan daerah Kuala Langat dan Sepang (Kluster Industri Tanjung Suria); dan dua di daerah Sepang iaitu Kluster Tapak Bina Cybersouth Utama dan Kluster Industri Jalan Enam Salak Tinggi.

"Selain itu dua di Johor membabitkan daerah Johor Bahru dan Muar; dan satu masing-masing di Kuala Lumpur (daerah Kepong);  Pulau Pinang (daerah Seberang Perai); Melaka (daerah Jasin dan Melaka Tengah) serta Kelantan (daerah Pasir Mas)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, lima lagi kluster adalah melibatkan Kluster Pusat Tahanan (dua); Kluster Komuniti (dua); dan satu lagi melibatkan Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi.

Setakat ini, sebanyak 1,887 kluster telah diisytiharkan tamat.