Satu kes kematian telah dicatat pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu di negara ketika ini ialah 126 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 17 kes baharu jangkitan COVID-19 turut direkodkan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, mangsa yang meninggal dunia tersebut merupakan seorang lelaki tempatan berusia 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, chronic obstructive pulmonary disease (COPD) dan penyakit jantung.

Mangsa dikatakan mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos lalu dan dimasukan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah akibat jangkitan paru-paru.

Mangsa kemudiannya dibenarkan keluar sebelum kembali ke hospital yang sama akibat simptom yang sama pada 24 Ogos dan disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun keadaan kesihatan mangsa semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada Sabtu (29 Ogos) jam 5.10 petang.

Dalam pada itu, KKM turut mengesahkan 15 daripada 17 kes baharu yang dicatatkan pada Ahad adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara.

Ia membabitkan 11 warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

KKM mengesahkan 15 kes tersebut membabitkan jangkitan daripada negara India (12 kes), Arab Saudi (2 kes) dan Jepun (1 kes).

Dua lagi kes baharu yang dicatatkan hari ini ialah membabitkan satu kes di Selangor (kontak rapat kes ke-9286) dan satu kes di Kedah (kontak rapat kes ke- 9284).

Perkembangan terbaharu ini menjadikan Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah 9,334 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 160 kes.

Sehingga kini terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.