KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 17 lokaliti di empat buah negeri bermula 2 hingga 15 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan PKPD ini dilaksanakan bagi mengawal penularan COVID-19 di lokaliti terbabit.

Beliau menjelaskan PKPD di daerah Tanjung Manis, Sarawak melibatkan 11 buah Rumah Panjang dan sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Stalon di Stalon.

"Di Pahang, satu lokaliti di daerah Jerantut dikenakan PKPD melibatkan Kampung Pagi, Ulu Tembeling.

"Di Perak, PKPD dilaksanakan di Felda Trolak Utara, Mukim Sungkai di Daerah Batang Padang.

"Bagi Sabah, tiga lokaliti dikenakan PKPD iaitu di Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu dan Jalan Klias 2 serta Jalan Klias 3, di Kampung Klias Baru di Beaufort," katanya.