KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 17 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,879 orang, daripada 2.68 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 3 daripada 17 kes kematian yang dilaporkan, berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 58,852 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 48,337 individu atau 82.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,606 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 4,502 kes dirawat di hospital dan 407 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 191 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 216 lagi memerlukan mesin ventilator.