KOTA KINABALU: Bilangan kes harian di Sabah sejak kebelakangan ini berada pada tahap stabil dan hanya 176 kes positif dilaporkan pada Jumaat.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bagaimanapun rakyat perlu sentiasa berhati-hati dan tidak alpa memandangkan peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi iaitu 68 peratus.

"Secara keseluruhan, empat daerah di Sabah mencatatkan kes dua angka iaitu Kota Kinabalu 57 kes; Penampang dan Sandakan 12 kes serta Papar 10 kes.

"Sebanyak 21 daerah lagi mencatatkan kes baharu satu angka dengan 17 daripadanya mencatatkan antara satu hingga lima kes sahaja. Tiada kes baharu di Nabawan dan Tongod," katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, 164 daripada 172 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2. Manakala lapan kes dalam Kategori 3 hingga 5.