KUCHING: Sarawak hari ini melaporkan pertambahan 178 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes di negeri itu kepada 12,451.

Bintulu menyumbang angka kes harian tertinggi dengan 35 diikuti Miri (32), Sibu (27), Song (23), Kuching (21), Kapit (18), Meradong dan Sri Aman (empat), Kanowit (tiga), Lawas dan Samarahan (dua) manakal satu kes di Betong, Julau, Mukah, Pusa, Sebauh, Serian dan Tatau.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Ahad, satu kematian di Hospital Sibu turut dilaporkan menjadikan jumlah kematian kepada 90.

“Kematian terbaharu merupakan kes 8,606 berusia 61 tahun yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom.

“Dia disahkan positif pada 23 Februari 2021 dan disahkan meninggal dunia pada 14 Mac 2021,” kata kenyataan itu.

Selain itu, JPBN Sarawak juga melaporkan pertambahan satu kluster baharu melibatkan Kluster Begalak di Song.

Kluster ini dikesan di sebuah penempatan kem pembalakan di Kawasan Sungai Begalak dan kes indeks merupakan kes 11,650 berusi 57 tahun.

“Dia dikesan positif melalui saringan individu bergejala pada 10 Mac 2021 di Klinik Kesihatan Song.

“Kes indeks berkemungkinan mendapat jangkitan semasa berada di pekan Song kerana tidak memiliki sejarah keluar ke daerah lain sejak 28 Disember tahun lalu.

“Setakat ini, 335 individu telah disaring dengan 49 individu didapati positif COVID-19 termasuk 21 kes dilaporkan hari ini, 22 negatif manakala 64 masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambah kenyataan itu.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak meningkat kepada 29 kluster dengan 12 kluster mencatatkan pertambahan kes positif untuk hari ini.