KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan pertambahan 55 kes positif COVID-19 yang merupakan kes tertinggi direkodkan di negeri tersebut.

Menerusi kenyataan pada Sabtu, Sibu mencatatkan kes tertinggi dengan 37 kes, diikuti Kuching (15), Miri (2) dan Bintulu (1).

Peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 1,251 kes.

Terdahulu, kes positif tertinggi harian yang pernah dicatatkan di Sarawak ialah 32 kes iaitu pada 1 April 2020.

Susulan penambahan kes di Sibu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Pasai yang melibatkan daerah Sibu dan Mukah.

Peningkatan itu juga menjadikan daerah Sibu bertukar status dari zon kuning ke jingga.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu telah membuat Kawalan Pergerakkan di lapan buah rumah panjang di daerah itu.

“Saringan COVID-19 akan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan di semua rumah panjang berkaitan mulai hari ini sehingga selesai,” kata kenyataan itu.