KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 192 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 26,335 kes, iaitu 1.17 peratus daripada 2,240,834 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, sejumlah 47 daripada 192 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak kerana ada di antara kes meninggal dunia itu berlaku beberapa minggu lalu.

Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik itu, memakan masa.

Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, sejumlah 62 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 dan 72.1 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Daripada 192 kes kematian yang dilaporkan semalam, 40 daripadanya adalah di Sarawak, ini diikuti Johor (34), Selangor (25), Perak (23), Pulau Pinang (21), Sabah (20), Kedah (9), Terengganu (8), Kuala Lumpur (7), Melaka dan Perlis masing-masing (4), Negeri Sembilan (2), Kelantan dan Pahang masing-masing (1).

Wilayah yang mencatatkan sifar kes kematian semalam adalah Labuan dan Putrajaya.