KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan 2,027 kes harian baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 122,845 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,011 jangkitan merupakan penularan COVID-19 dalam negara manakala 16 lagi kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Kata beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,887 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 509 kes, diikuti oleh Johor sebanyak 428 kes dan Sabah (383 kes).

"Sebanyak 111 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (64 kes), Kluster Tembok Gajah (43 kes), Kluster Tembok Choh (2 kes), dan Kluster Penjara Kepayan (2 kes)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, bilangan kes sembuh COVID-19 pula adalah sebanyak 1,221 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 99,449 kes.

Dalam pada itu, terdapat pertambahan lapan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 509 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat 123 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 52 kes memerlukan bantuan pernafasan.
COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)