PUTRAJAYA:Sebanyak 2,764 kes baharu COVID19 dilaporkan pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini ialah sebanyak 248,316 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak enam kes import dilaporkan yang menerima jangkitan daripada luar negara manakala selebihnya merupakan kes tempatan.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 50,841 kes," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, sebanyak 13 kes kematian baharu turut dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kini adalah sebanyak 909 kes.

Mengenai penularan mengikut negeri, Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 862 kes diikuti Johor dengan 521 kes dan Kuala Lumpur dengan 422 kes.

Setakat ini, sebanyak 289 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 127 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh terus catat peningkatan sebanyak 3,887 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 196,566 kes.