KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 dalam negara kembali kepada bawah paras 3,000 kes selepas 2,881 lagi individu dijangkiti virus berkenaan.

Pertambahan kes harian itu membawa angka keseluruhan kes positif di Malaysia kini 411,594 dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 29,631.

Pada masa sama, sejumlah 2,462 kes sembuh baharu dilaporkan sekali gus menjadikan ia kini 380,442 kes.

Selangor mendahului senarai dengan 759 kes baharu, diikuti Sarawak dengan 445 kes, Kelantan sejumlah 442 kes, Kuala Lumpur 315 kes dan Johor dengan 410 kes.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan melaporkan 337 individu sedang berada di dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan 176 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kes kematian baharu masih kekal kepada dua angka, iaitu 15 lagi disahkan terkorban dan jumlah kumulatif bertambah kepada 1,521.