KUCHING:Sarawak merekodkan 203 kes positif COVID-19 hari ini, yang tertinggi pernah dicatat di negeri itu sejak kes pertama dikesan pada 13 Mac 2020.

Ini menjadikan jumlah kes kumulatif COVID-19 di Sarawak melonjak kepada 2,570 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya petang ini memaklumkan Sibu merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 120 kes.

"ia diikuti Kanowit (43), Kuching (12), Betong (8), Bintulu dan Samarahan (5), Miri (4), Dalat (3), Kapit  Pakan dan Serian masing-masing satu kes.

“Daripada 120 kes di Sibu, 78 melibatkan Kluster Pasai dan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan.

“40 kes lagi adalah hasil saringan melibatkan individu yang menjalani saringan di pusat-pusat kesihatan di Sibu.

“Sementara dua lagi kes saringan individu yang balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu dari Selangor dan Labuan,” jelas kenyataan berkenaan.

Selain di Sibu beberapa kes melibatkan Kluster Pasai turut direkodkan di daerah lain iaitu 43 kes di Kanowit, Betong (8), Bintulu (4), Dalat (3), Kuching (2) dan Kapit (1).

Hari ini juga terdapat dua kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sibu.

Sementara itu, Daerah Kanowit telah bertukar status dari Jingga kepada Merah selepas 73 kes jangkitan tempatan dikesan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

"Dalat pula bertukar dari Kuning kepada Jingga dengan sejumlah 22 kes jangkitan tempatan.

"Serian dan Pakan bertukar dari Hijau kepada Kuning setelah masing-masing merekodkan satu kes jangkitan tempatan dikesan sejak 14 hari lalu," tambah kenyataan itu.

Untuk rekod, tiga kes pertama COVID-19 di Sarawak dilaporkan pada 13 Mac 2020.