KUALA LUMPUR: Sarawak melaporkan pertambahan 217 kes positif COVID-19 dengan Bintulu menyumbang angka tertinggi iaitu 74 kes menjadikan jumlah kes keseluruhan meningkat kepada 16,845.

Ia diikuti Sibu (46), Miri (30), Kuching (28), Julau (10), Meradong dan Samarahan (lima), Mukah dan Saratok (tiga), Serian, Beluru, Kanowit, Marudi dan Matu (dua) manakala satu kes masing-masing di Betong, Sarikei dan Lubok Antu.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dua kematian dilaporkan menjadikan angka kematian di negeri itu kepada 112 kes.

Kedua-dua kes mempunyai ko-morbid penyakit buah pinggang tahap akhir, kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan penyakit hati.

“Kes kematian ke-111 melibatkan kes 16,701 berusia 51 tahun yang dirujuk ke Hospital Bintulu kerana sesak nafas. Dia disahkan positif COVID-19 pada 1 April 2021 dan meninggal dunia pada hari sama.

“Manakala kes kematian ke-112 merupakan kes 11,466 berusia 79 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu selepas disahkan positif COVID-19 pada 8 Mac 2021 dan meninggal dunia pada 2 April 2021,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 36 kluster dilaporkan kekal aktif dengan 12 kluster melaporkan pertambahan kes positif COVID-19.

Antara lain, daerah Lubok Antu kini dikategorikan sebagai zon kuning selepas melaporkan pertambahan satu kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Manakala daerah Sri Aman pula dikategorikan sebagai zon jingga setelah merekodkan 38 kes jangkitan tempatan hari ini.

Sehingga kini, hanya sembilan daerah di Sarawak yang kekal dalam zon hijau termasuk Dalat, Belaga dan Lundu.