Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 23 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia melibatkan 13 kes jangkitan dalam negara dan 10 kes import.

"Sehingga 15 September 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 23 kes baharu yang telah dilaporkan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,969 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 632 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Daripada 13 penularan dalam negara, lapan kes dilaporkan dalam Kluster Baharu iaitu Kluster Pulau di Sabah, empat kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD).

Manakala satu kes melibatkan seorang pesakit yang dirujuk di Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

"Sehingga kini, terdapat 14 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya lagi.

Bagaimanapun, tiada pertambahan kes kematian dicatatkan dengan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal sebanyak 128 kes bersamaan 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.