SEBANYAK 26,701 kes baharu COVID-19 dicatatkan pada 17 Februari menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,138,215 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, ia membabitkan 26,569 kes tempatan dengan 132 kes lagi adalah import.

Katanya, sebanyak 99.56 peratus bersamaan 26,583 kes adalah pesakit COVID-19 dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

"Pecahan daripada jumlah itu adalah kategori satu merekodkan 6,103 kes dan kategori dua 20,480 kes.

"Manakala 118 kes atau 0.44 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5 yang mempunyai gejala lebih buruk.

"Daripada jumlah itu kategori tiga merekodkan 77 kes, kategori empat 19 kes dan kategori lima sebanyak 22 kes," jelasnya.

Daripada 118 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 22 kes iaitu 18.6 peratus belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

Selain itu, 71 kes sudah menerima dua dos vaksin, 25 kes sudah menerima dos penggalak, 53 kes berumur 60 tahun ke atas, 49 kes mempunyai komorbid, empat kes ibu mengandung, dan 10 kes yang telah meninggal dunia.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 19 kluster baharu direkodkan menjadikan kluster yang masih aktif di negara ini sebanyak 481.

Sementara itu, tambahnya, jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 11,744 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,888,194 kes.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 216 kes, manakala kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 141 kes,” katanya dalam kenyataan harian pada Jumaat.