KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara kekal berada di bawah 500 kes untuk 15 hari berturut-turut.

Pada Ahad, jumlah kes naik sedikit ke 309, berbanding 293 kes yang dicatatkan pada hari sebelumnya.

Portal KKMNOW turut memaklumkan tiada kematian dilapor berkaitan dengan COVID-19.

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan pada Ahad turun ke 10,337 kes.

Daripada jumlah itu, 9,943 kes atau 96.2 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 381 pesakit mendapat rawatan di hospital.

13 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 daripada pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara juga mencatatkan 292 kes sembuh.