KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu COVID-19 di negara terus mencatatkan penurunan dengan 4,298 kes hari ini berbanding  4,896 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini menjadi 2,658,772.


Katanya, sebanyak 4,275 adalah penularan tempatan, manakala 23 lagi kes import membabitkan 19 rakyat Malaysia dan empat warga asing.

Beliau berkata, sebanyak 98.3 peratus atau 4,223 kes baharu membabitkan kategori satu dan dua, iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan, dan baki 1.7 peratus (75) pula dalam kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 471 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 378 daripadanya disahkan COVID-19 dan 93 lagi disyaki, kemungkinan serta kes dalam siasatan.

"Sebanyak 264 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 172 disahkan COVID-19, manakala 92 disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sembilan kluster baharu COVID-19 dikesan, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif ketika ini mencecah 233 kes.

Seterusnya, beliau berkata, sebanyak 4,929 kes sembuh direkodkan, dalam tempoh 24 jam.

Dr Noor Hisham memaklumkan, nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) pada peringkat kebangsaan ialah 0.97, dengan Perlis mencatat kadar RT tertinggi 1.16.