KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 40 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini 32,674 orang, daripada 3.4 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 17 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 300,692 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 288,980 individu atau 96.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,495 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 7,864 kes dirawat di hospital dan 353 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 160 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 193 lagi memerlukan mesin ventilator.