KANGAR: Sebagai antara negeri yang menjadi perintis kepada peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu lalu, Perlis mengejutkan semua pihak selepas mencatatkan 41 kes harian COVID-19.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menjadi jumlah tertinggi pernah direkodkan setakat ini di negeri tersebut.

Berdasarkan kemas kini harian di laman sosial Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis, daripada 41 jangkitan itu, 23 kes merupakan penularan tempatan manakala 15 lagi melibatkan kes tahanan baharu yang dipindahkan ke Pusat Koreksional Perlis dari Penjara Alor Setar di Kedah, pada Selasa.

Sementara, baki tiga lagi kes merupakan jangkitan import.

Bagaimanapun, kesemua kes terbabit berada pada kategori 1 hingga 4.

Setakat hari ini, sejumlah 806 kes terkumpul di negeri itu dengan 12 kematian direkodkan.

Kuala Perlis menjadi satu-satunya mukim yang bertukar kepada status merah dengan 47 kes masih aktif.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri, Datuk Surina Saad yang dihubungi memberitahu, setakat ini belum ada arahan sama ada di pihak kerajaan negeri mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Perlis.

Sebagai rekod, Perlis, merupakan antara tiga negeri perintis peralihan Fasa 3 PPN selain Sarawak dan Wilayah persekutuan Labuan yang berkuatkuasa pada Rabu lalu.