KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 41 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 29,576, daripada 2,529,791 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, lapan daripada 41 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 64,277  kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 50,063 individu atau 77.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 7,966 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,705 kes dirawat di hospital dan 543 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 275 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 268 lagi memerlukan mesin ventilator.