KUALA LUMPUR:Malaysia mencatatkan kes positif COVID-19 baharu tertinggi setakat ini dengan 432 kes, pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 429 kes adalah penularan dalam negara yang melibatkan 409 warga tempatan dan 20 rakyat asing.

Daripada 429 kes penularan tempatan itu katanya, 224 kes adalah merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah sementara 29 kes lagi pula melibatkan pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Ini sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu sebanyak 235 kes," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.


Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, daripada jumlah itu, 130 kes dilaporkan di Sabah, Kedah (241 kes), Selangor (34 kes), Terengganu (lima kes), Kuala Lumpur (lima kes) dan Labuan (empat kes).

Sementara Johor, Perak dan Putrajaya masing-masing-masing merekodkan dua kes, manakala Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Kelantan, mencatatkan satu kes masing-masing. 

Sementara itu, Noor Hisham menjelaskan, tiga kes import yang dilaporkan melibatkan dua warganegara tempatan dan satu warga asing yang pulang dari India, Kuwait dan Myanmar.

"Sehingga kini 32 individu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan lapan kes memerlukan bantuan pernafasan," jelasnya.

Jumlah kematian baharu kata Noor Hisham kekal 137 kes dengan tiada kes direkodkan.

Jumlah keseluruhan di negara ini setakat ini katanya, kini mencecah 12,813 kes.

Beliau memberitahu, sementara kes sembuh direkodkan setakat pukul 12 tengah hari adalah 57 kes, menjadikan jumlah kes pulih adalah 10,340 kes. 


RUJUKAN: COVID-19: Data dan informasi setakat ini