KUALA LUMPUR: Untuk sembilan hari berturut-turut, jangkitan baharu COVID-19 terus turun dan kekal di bawah 1,000 kes.

Semalam, jumlah kes turun lagi ke angka 480 berbanding 609 kes yang dilaporkan hari sebelumnya.

Portal KKMNOW turut maklumkan empat kematian dilapor berkaitan dengan COVID-19.

Daripada jumlah itu, tiada kematian di luar fasiliti hospital atau BID dicatatkan pada Isnin.

Sementara itu, kes aktif juga terus turun ke 13,818 pada Isnin berbanding 14,124 kes yang direkodkan hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 12,888 kes atau 93.3  peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 885 pesakit mendapat rawatan di hospital.

45 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala 20 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara juga mencatatkan 655 kes sembuh.