WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghubungi pemimpin Qatar dan Mesir mengenai cadangan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Biden yang menghubungi kedua-dua pemimpin secara berasingan, berbincang dengan Emir Qatar Tamim Bin Hamad al-Thani dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengenai perjanjian baharu itu untuk menjamin pembebasan tahanan serta gencatan senjata segera dan berterusan di Gaza, lapor Agensi Anadolu memetik Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Biden mengesahkan AS bersama-sama Mesir dan Qatar akan berusaha untuk memastikan pelaksanaan penuh syarat-syaratnya, menurut kenyataan itu.

Para pemimpin juga mengkaji inisiatif berterusan untuk meningkatkan aliran bantuan menyelamatkan nyawa orang awam di Gaza, katanya.

Panggilan telefon itu dibuat selepas Mesir mengesahkan pada Isnin bahawa terdapat cadangan baharu untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang disekat.

"Terdapat cadangan baharu untuk dikemukakan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza," kata Menteri Luar Sameh Shoukry semasa mesyuarat Forum Ekonomi Sedunia di Arab Saudi.

Rundingan tidak langsung antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas sedang berlangsung di Kaherah dan Doha bertujuan mencapai perjanjian yang termasuk pertukaran tahanan, iaitu tawanan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk pembebasan rakyat Palestin dari penjara Israel.

Hampir 34,500 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 77,600 yang lain cedera menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan sejak Israel melancarkan serangan kejam ke atas wilayah Palestin pada 7 Okt tahun lepas.

Perang Israel telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah, menurut PBB.

Rejim itu dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang pada Januari lepas mengeluarkan keputusan interim mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

-- BERNAMA