KUALA LUMPUR: Selepas merekodkan kes harian di bawah paras 5,000 semalam, hari ini jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kembali meningkat kepada 5,419 kes.

Selangor terus menjadi negeri mencatatkan kes tertinggi dengan 1,996 kes, Sarawak pula menjadi negeri kedua tertinggi dengan merekodkan 718 kes disusuli Kuala Lumpur (650). 

Putrajaya merekodkan lima kes baharu dan di Perlis, hanya satu kes baharu dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan sejumlah 667,876 kes positif COVID-19 setakat ini di Malaysia. 


"Sebanyak 101 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam. Dengan angka terbaharu ini, sebanyak 4,069 kes kematian dicatatkan di Malaysia sejak pandemik," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 922 individu sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 450 daripada mereka terpaksa bergantung pada bantuan alat pernafasan. 

Pun begitu, katanya, kes sembuh melebihi kes harian dengan 6,831, menjadikan kumulatif kes sembuh mencecah 593,695 atau 88.89 peratus.