KUALA LUMPUR: Negara mencatatkan kes COVID-19 sebanyak 5,566 kes pada Selasa meningkat sedikit berbanding 5,271 kes pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,524 kes adalah dari Selangor, diikuti Sarawak (707) dan Negeri Sembilan (505).


Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan kes kematian baharu merekodkan sebanyak 76 kes menjadikan jumlah kumulatifnya kini adalah 3,536 kes.

Berdasarkan jumlah kes baharu yang dilaporkan, sebanyak empat kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 82,797 kes," katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Setakat ini, jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 903 kes dan daripada jumlah itu, 458 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah keseluruhan kes sembuh ketika ini adalah sebanyak 541,319 kes berikutan pertambahan kes sembuh sebanyak 6,962 kes hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 76 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 18 kes di Selangor, 13 kes di Johor, sembilan kes di Negeri Sembilan, lapan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tujuh kes di Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing empat kes di Kelantan, Melaka, dan Kedah, tiga kes di Terengganu, masing-masing dua kes di Perak dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu ujarnya, sebanyak 24 kluster dicatat dengan 15 daripadanya adalah kluster tempat kerja, lima kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster keagamaan.