KUALA LUMPUR:Seramai 60,052 pesakit sedang dirawat di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) membabitkan 152 pusat berkenaan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini, CAC sedang memantau seramai 20,089 pesakit sedang menjalani pengasingan di rumah.

"Secara umumnya, CAC bertindak sebagai pusat rujukan bagi mengenal pasti, menilai, memantau, serta menguruskan pesakit yang telah disahkan positif COVID-19.

"Penilaian dan pemantauan kepada kesemua pesakit ini dijalankan oleh pasukan yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga serta dibantu oleh anggota-anggota sokongan klinikal yang lain," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi melancarkan perkhidmatan, CAC akan beroperasi di kesemua fasiliti kerajaan sama ada di stadium, dewan komuniti, balai raya bergantung kepada kesesuaian dan keperluan setempat.

"Secara umumnya, CAC beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja.

"Walau bagaimanapun, terdapat juga CAC yang beroperasi pada hari minggu," jelasnya.

Beliau menambah, pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan KKM akan menjalani pengasingan di rumah selama sepuluh hari.

"Pengurusan pesakit-pesakit ini adalah tertakluk di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kes Jangkitan Penyakit Korona Virus 2019 (COVID-19), Akta Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kesemua pesakit ini akan dipakaikan gelang pengawasan (wristband) sepanjang tempoh
pengasingan mereka di rumah," ujarnya lagi.