KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 629 kes baharu penularan jangkitan COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam setakat hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara sebanyak 18,758 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara melibatkan warganegara.

“Dua kes import melibatkan warganegara telah mendapat jangkitan dari New Zealand dan juga Singapura.

“Manakala 627 kes penularan dalam negara, 577 kes adalah warganegara manakala 50 kes melibatkan bukan warganegara,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 pada Jumaat.

Menurut Dr Noor Hisham, Sabah turut mencatatkan negeri tertinggi penularan jangkitan COVID-19 dengan jumlah kes sebanyak 489 kes.

Setakat hari ini, sebanyak 245 kes dilaporkan telah sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan discaj daripada hospital menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 12,259 kes.

Bagaimanapun, KKM dengan dukacitanya turut memaklumkan terdapat pertambahan enam kes kematian baharu akibat COVID-19 menjadikan angka keseluruhan kes kematian setakat ini sebanyak 176 kes.

Sehingga kini, sebanyak 99 kes positif COVID-19 sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.