KUALA LUMPUR: Aspek kewangan adalah antara kekangan orang ramai untuk menjalani saringan COVID-19 meskipun diri mereka berisiko dijangkiti.

Itu adalah antara maklumat yang diperoleh hasil daripada pemerhatian Pengarah Selangor Task Force Operation of COVID-19 (STFO), Dr Mohammad Farhan Rusli.

"Di luar sana, saringan itu berbeza harga, ada yang RM120, ada yang RM150 (untuk satu proses ujian saringan). Ini adalah antara bebanan lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang agak rendah sekarang," ujarnya.

Dr Mohammad Farhan yang ditemui pada Rabu dalam Program Saringan COVID-19 Percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak Setia berkata, ujian secara besar-besaran itu antara lain adalah untuk mengenal pasti individu pembawa senyap virus itu.

"Matlamat kami mencari mereka yang silent carrier, kerana mereka boleh merebakkan wabak itu kepada orang lain tanpa bergejala," ujarnya lagi.

Kira-kira 12,000 penduduk di Selangor telah menjalani saringan COVID-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri Selangor sejak 8 Mei lalu.

Menurut Dr Mohammad Farhan, angka itu dijangka semakin bertambah sehingga 10 Jun depan selepas program sama bakal diadakan di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

"Program dikendalikan kerajan Negeri Selangor melakukan saringan COVID-19 secara besar-besaran di semua DUN dan telah bermula pada 8 Mei sebelum puasa hari itu.

"Kita telah saring di lapan DUN, selama empat hari dengan saringan terhadap lebih kurang 8,200 individu.

"Semalam kita mulakan di DUN Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa, kita dah melaksanakan lebih kurang 3,000 saringan. Hari ini kita di Gombak Setia dan DUN Sungai Tua, selepas ini kita akan ke DUN Templer dan DUN Kuang," katanya.


Inisiatif bantu KKM

Berdasarkan pemerhatian, orang ramai telah mula tiba di Dewan Beringin, Gombak Setia seawal jam 9 pagi.

Meskipun terpaksa beratur panjang lebih 200 meter, namun tidak mematah semangat setiap individu untuk mendapatkan saringan COVID-19.

Tambah Dr Farhan, inisiatif itu juga dilihat memberi bantuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengenal pasti individu yang positif tetapi dikategorikan sebagai pembawa senyap.

"Kami tidak risau nombor yang tinggi di Selangor, ini menunjukkan bahawa kita ambil langkah-langkah untuk mencari siapakah yang positif.

"Adalah amat merisaukan apabila pandemik ini semakin meruncing tetapi kita tak dapat kenal pasti individu positif, bermakna kita tidak tidak mencari mereka itu di mana.

"Jadi apabila nombor (kes) itu tinggi, bermakna kerajaan Negeri Selangor bersama KKM melakukan tindakan betul mencari siapa mereka yang positif," katanya lagi.


Di mana lagi akan diadakan saringan?

Program Saringan itu akan dijalankan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Batu 17, Dewan Seroja, Kampung Bendahara masing-masing di bawah DUN Rawang dan DUN Templer pada 20 Mei.

Diikuti pada 21 Mei, program saringan akan diadakan di Dewan Serbaguna Seri Kembangan di DUN Seri Kembangan dan Dewan Serbaguna Kuang dibawah DUN Kuang.

Bagi DUN Seri Serdang dan Kinrara pula akan diadakan di Dewan PU7, Puchong Utama dan Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2 pada 22 Mei ini.

Terakhir di Laman Sukan USJ1 dibawah DUN Subang Jaya dan Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Jalan PJS 6/1 Kampung Lindungan.