SEMUA institut pengajian tinggi (IPT) diminta untuk memberi kelonggaran kepada mana-mana pelajar yang tidak boleh meneruskan kelas secara dalam talian untuk menangguh sementara pengajian bagi semester ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana, terdapat mahasiswa yang mungkin berdepan kesukaran untuk meneruskan kelas secara maya berikutan tidak mempunyai akses komputer atau internet di rumah

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, meskipun kerajaan mengumumkan inisiatif 1GB internet percuma setiap hari, namun, masih ada lagi kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses tersebut.


"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak IPT menjalankan kelas dalam talian bagi memastikan mahasiswa tidak ketinggalan dan saya amat teruja melihatkan para pensyarah yang sanggup belajar menggunakan platform 'online' untuk mengajar.

"Bukan mereka pilih untuk tidak turut serta dalam 'online class'. Tapi situasi mereka yang tidak mengizinkan.

"Bayangkan betapa sukarnya untuk mereka belajar atau turut serta dalam 'online class' dalam keadaan bersesak di rumah dengan talian yang kerap terputus-putus dan berdepan keadaan tidak kondusif di rumah," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya di sini pada Isnin.