KUALA LUMPUR:Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempunyai gejala COVID-19 akan terus dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Menerusi jawapan bertulis kepada Astro AWANI, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memaklumkan, sekiranya terdapat pelajar yang didapati positif COVID-19, pelajar tersebut akan dimasukkan ke wad untuk pemantauan kesihatan oleh pihak hospital.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menasihati maktab untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan gejala.

"Pihak maktab akan bekerjasama dengan pihak PKD  untuk memudahkan urusan mengenal pasti kontak rapat untuk membuat saringan dan pengasingan," memetik jawapan bertulis itu.

Isu ini timbul selepas terdapat kes COVID-19 di MRSM Tun Ghazali Shafie, Kuala Lipis melibatkan pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seramai 142 pelajar perempuan kini dikuarantin sejak Selasa lalu di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki ditempatkan di asrama.

BACA: Calon SPM positif COVID-19, pelajar MRSM Lipis dikuarantin

Malah, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria turut mengesahkan daripada 20 orang yang bergejala sebelum ini, ia telah meningkat kepada 30 orang dalam tempoh 10 hari.

Memetik kenyataan MARA itu lagi, setakat ini, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan wajib kepada semua pelajar untuk menjalani ujian swab.

"Setiap pelajar yang hadir pada hari pertama persekolahan perlu menyerahkan borang deklarasi kesihatan dan saringan suhu semasa pendaftaran," katanya.

Malah, pelajar juga tidak dibenarkan untuk berjumpa keluarga atau waris sepanjang berada di maktab sehingga dimaklumkan kelak.

Katanya, pihak MARA akan mematuhi arahan dikeluarkan MKN, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya terdapat sebarang arahan baharu melibatkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) di MRSM.