KOTA KINABALU: Dua lagi daerah di Sabah bertukar status menjadi zon merah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Katanya, daerah terbabit ialah Papar dan Kalabakan, sekali gus menjadikan kini sembilan daerah dikategorikan sebagai zon merah.

"Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 131 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,047 kes. Satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau.

"Sebanyak 70 kes adalah dikesan daripada saringan kontak rapat, 15 kes saringan bergejala, 42 kes dari kluster sedia ada serta empat kes dari lain-lain kategori," katanya menerusi satu ciapan pada akaun Twitter beliau pada Khamis.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Kota Kinabalu dengan 40 kes, Tawau (26) dan Kalabakan (15).

"Kes baharu di Kota Kinabalu melonjak kepada 40 kes hari ini majoritinya disebabkan Kluster Jalan Khidmat iaitu 20 kes, dan Kluster Dambai (11)," katanya.

Sementara itu, Masidi dalam satu kenyataan media laporan harian COVID-19 bagi negeri ini berkata, kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah 97.4 peratus..

Katanya, tujuh daerah mencatatkan pematuhan tertinggi iaitu Semporna, Beluran, Beaufort, Tenom, Kota Marudu, Kota Belud dan Kudat.