Dua individu yang didakwa "melarikan diri" daripada kuarantin di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, malam tadi, telah kembali ke hospital berkenaan pagi ini untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kedua-dua lelaki berkenaan menjalani saringan kesihatan di hospital itu kira-kira jam pukul 3 pagi tadi Rabu.

"Hasil ujian saringan berkenaan, pihak hospital mendapati kedua-dua pesakit tersebut negatif daripada penyakit terbabit (COVID-19)," kata Ayob dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka juga telah menghadirkan diri di balai polis berdekatan untuk membuat laporan bagi menafikan diri mereka telah melarikan diri daripada hospital.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua pesakit tersebut baru sahaja kembali ke Malaysia selepas bercuti di Korea dan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19, mereka telah hadir (secara sukarela) ke hospital berkenaan untuk melakukan ujian saringan.

"Semasa sedang menunggu rawatan, kedua-dua pesakit bagaimanapun telah pulang ke rumah atas sebab-sebab peribadi," kata Ayob lagi.

Sejak tengah hari tadi, telah tular laporan polis yang dibuat oleh seorang petugas hospital di laman sosial Facebook kononnya dua pesakit yang masing-masing berusia 27 dan enam tahun yang disyaki dijangkiti COVID-19, telah pulang (meninggalkan hospital) tanpa kebenaran doktor.

-- BERNAMA