KUALA LUMPUR:Jumlah kes keseluruhan COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 942 kes selepas enam lagi kes positif direkodkan hari ini.

Kesemua kes ini direkodkan di daerah Kuching dengan kes saringan bagi kontak Kluster Wisma Saberkas mencatat jumlah tertinggi iaitu tiga kes.

Ia diikuti masing masing satu kes bagi kes saringan kontak Kluster Greenhill, kes saringan kendiri di hospital swasta, dan kes saringan individu bergejala.

Perkembangan ini dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media harian di Kuching.

Bagi kes Kluster Greenhill, kes melibatkan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumah kepada kes ke-818.

"Kes telah menjalani ujian saringan pertama pada 27 Oktober 2020 melalui aktiviti pengesanan kontak rapat tetapi didapati negatif ujian rT-PCR untuk COVID-19.

"Ujian saringan kedua pada 4 November 2020 telah mendapati kes ini positif COVID-19," jelas Uggah.

Tambah Uggah kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan dan tidak mempunyai sejarah balik ke negara asal atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 dalam tempoh 3 bulan yang lepas.

Uggah turut memaklumkan 12 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini.

"11 kes telah discaj dari Hospital Umum Sarawak dan satu kes discaj dari Hospital Bintulu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini  789 orang atau 83.76% daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak," jelas Uggah.

Dalam perkembangan sama, tiada kluster baharu dilaporkan menjadikan kluster masih aktif kekal enam.

Kluster berkenaan adalah Kluster Greenhill dengan 64 kes keseluruhan, Kluster Wisma Saberkas (19 kes), Kluster Bah Arnab (12 kes), Kluster Baki (30 kes), Kluster Seladah (7 kes) dan Kluster Putra (5 kes).