KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tahap penularan jangkitan COVID-19 pada fasa endemik di peringkat negara juga boleh ditentukan oleh kerajaan berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan.

Peralihan fasa tersebut juga, jelas beliau, disesuaikan dengan kapisiti respon sesuatu negara termasuk Malaysia agar tidak memberi masalah kepada kesihatan awam.

"Semasa fasa endemik ini walaupun kadar vaksinasi telah melebihi 70 peratus, jumlah kes harian masih boleh meningkat.

"Namun, pengurangan bilangan kes yang memerlukan kemasukan hospital dan kematian disebabkan COVID-19 dapat diatasi.

"Tindakan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah meneruskan usaha mengekang penularan COVID-19 sehingga ke tahap endemik. Selain itu, meningkatkan kesiapsiagaan ancaman kemunculan varian baharu dan pendekatan kes.

"Ketiga, meningkatkan penglibatan pelbagai pihak dan lebih telus dalam perkongsian maklumat dengan masyarakat agar sasaran serta usaha oleh kerajaan diterima dan dilaksanakan," katanya pada Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang meminta KKM menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dalam persediaan menghadapi fasa endemik COVID-19.