LABUAN: Hampir 200 sepanduk notifikasi zon merah COVID-19 yang dipasang di tiang lampu di pusat bandar raya telah diarah diturunkan serta-merta sehingga menyebabkan penduduk setempat mempertikai motif tindakan itu.

Tinjauan Bernama mendapati kakitangan unit promosi Jabatan Kesihatan Labuan bertindak pantas menurunkan sepanduk itu yang sebelum ini dipasang di jalan utama di sini iaitu Jalan Tun Mustapha.

"Meskipun memiliki permit periklanan daripada pihak berkuasa tempatan iaitu Perbadanan Labuan (LC) (seperti yang tertera pada sepanduk), sepanduk notifikasi zon merah COVID-19 telah diarah diturunkan hari ini (Rabu)," kata seorang kakitangan unit itu yang hanya ingin dikenali sebagai Omar Ali kepada Bernama.

Beliau berkata jumlah sama sepanduk itu turut dipasang di kesemua 27 kawasan kampung dan kediaman selepas pulau bebas cukai itu diisytiharkan sebagai kawasan merah COVID-19 pada 17 Mei selepas mencatatkan lebih 40 kes dalam tempoh 14 hari lepas.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Mohd Dzulfaizal Manan berkata sepanduk itu sepatutnya dibiarkan kekal di situ dan tidak diturunkan susulan peningkatan kes baharu di Labuan sejak tiga minggu lepas.

"Kami harap sepanduk notifikasi zon merah yang dipasang di kawasan bandar, kampung dan kediaman dikekalkan kerana adalah penting untuk penduduk mengetahui lokasi mana yang mempunyai jangkitan," katanya.

Ketika dihubungi, seorang pegawai kanan LC berkata satu arahan telah dikeluarkan pagi Rabu agar semua sepanduk diturunkan serta-merta.

"Kami telah memberikan permit untuk sepanduk itu dipasang namun pihak atasan meminta agar permohonan baharu dikemukakan untuk kelulusan," katanya.