MERLIMAU: Kedegilan pihak pengurusan sebuah kilang di Merlimau, Jasin yang ingkar dengan arahan penutupan sementara operasi dengan bertindak mengarahkan semua pekerjanya datang bekerja seperti biasa meskipun mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi membawa padah, apabila dikompaun pihak berkuasa hari ini.
 
Premis yang merupakan antara kilang pengeluar kotak terbesar di Jasin itu dikenakan kompaun selepas diserbu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sejurus menerima maklumat daripada kumpulan pekerja kilang berkenaan.
 
 Exco Kesihatan Dan Anti Dadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengetuai serbuan berkenaan berkata, arahan penutupan sementara premis yang terletak di Kawasan Perindustrian Merlimau itu telah dikeluarkan semalam selepas 30 pekerjanya disahkan positif COVID-19.
 

Katanya, daripada keseluruhan 170 pekerja, hanya 28 pekerja bahagian pentadbiran dibenarkan datang bekerja seperti biasa selepas dikenal pasti tidak mempunyai kontak dengan kes positif, manakala selebihnya telah diarahkan menjalani kuarantin.
 
Bagaimanapun mereka mendakwa tetap diminta untuk hadir bekerja seperti biasa pada sebelah pagi tadi dan pihak pengurusan kilang turut mendakwa terpaksa berbuat demikian selepas menerima desakan daripada pelanggan dan enggan menanggung kerugian.
 
“Saya ingin tegaskan, atau mana-mana industri tidak kira apa sekalipun kita dalam nak membendung COVID-19 ini bukan kerja KKM semata-mata, tetapi kerjasama semua pihak termasuk industri.

“Amaran keras dari saya dan kerajaan negeri mana-mana industri yang mengingkari, kita tidak akan teragak-agak untuk kenakan tindakan mahkamah atau yang paling berat kepada mereka. Ini bukan sebab keuntungan industri semata-mata. Ini jaminan keselamatan pekerja dan rakyat di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan serbuan di kilang berkenaan pada petang Jumaat.
 
Mengulas lanjut katanya, pihaknya juga turut mengarahkan 112 pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan 30 kes positif berkenaan untuk memakai gelang kuarantin.
 
Ujarnya, buat masa ini kilang itu dikompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).