KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menetapkan tatacara kemasukan baharu ke negeri itu berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Ahad mengenai pengurangan tempoh kuarantin daripada 14 ke 10 hari.

Berikut merupakan prosedur terkini dinyatakan menerusi kenyataan media JPBN Sarawak pada Isnin:

1. TATACARA KEMASUKAN KE SARAWAK DARI LUAR NEGARA BAGI RAKYAT NEGERI SARAWAK

a. Rakyat negeri Sarawak yang tiba dari luar negara diwajibkan menjalani kuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin yang disediakan.

b. Ujian saringan rt-PCR akan diambil pada hari kedua dan kelapan kuarantin.

c. Sekiranya keputusan ujian saringan disahkan positif pada hari kelapan, mereka akan diberi pelepasan pada hari ke-10 dan menyambung baki kuarantin di rumah sehingga hari ke-14.

d. Gelang tangan (wristband) akan dipakaikan bagi individu terlibat.

2. TATACARA KEMASUKAN KE SARAWAK DARI LUAR NEGARA BAGI RAKYAT MALAYSIA DAN BUKAN WARGANEGARA

a. Wajib menjalani kuarantin selama 10 hari dan disaring dengan ujian rt-PCR di pintu masuk (point of entry).

b. Ujian rt-PCR mestilah negatif selama tiga hari sebelum kemasukan ke Sarawak dan diwajibkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

c. Gelang tangan akan dipakaikan bagi individu terlibat.

3. TATACARA KEMASUKAN KE SARAWAK DARI SEMENANJUNG, SABAH DAN LABUAN BAGI WARGANEGARA DAN BUKAN WARGANEGARA

a. Wajib menjalani kuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin ditetapkan.

b. Ujian saringan rt-PCR akan diambil pada hari kedua dan kelapan kuarantin.

c. Sekiranya keputusan ujian saringan disahkan positif pada hari kelapan, mereka akan diberi pelepasan pada hari ke-10 dan menyambung baki kuarantin di rumah sehingga hari ke-14.

d. Gelang tangan akan dipakaikan bagi individu terlibat.

e. Bagi kemasukan dari Sabah dan Labuan, ujian saringan rt-PCR wajib dijalankan tiga hari sebelum kemasukan ke Sarawak.

f. Kemasukkan tanpa urusan penting bagi mereka yang bukan rakyat Sarawak dari Sabah dan Labuan masih tidak dibenarkan.

4. PELANCONGAN PERUBATAN

a. Kementerian Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak telah memperhalusi garis panduan untuk Pelancongan Kesihatan (medical tourism).

b. Garis panduan ini diterima pakai mulai 16 Disember 2020.