KUALA LUMPUR:Jangan memilih apa sahaja vaksin yang diluluskan kerajaan, kerana ia sudah pun diuji dan tahap keberkesanannya untuk mencegah COVID-19 telah terbukti.

Itu pesanan Pakar Pediatrik, Datuk Dr Musa Nordin terhadap golongan yang berpendapat vaksin yang berbeza mempunyai tahap keberkesanan yang berlainan.

Dalam siri soal jawab yang disiarkan di laman Youtubenya hari ini, Dr Musa berkata, beliau yakin Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah melakukan penelitian dan pemeriksaan yang sewajarnya sebelum membenarkan penggunaan vaksin COVID-19 di negara ini.

“Apa-apa pun vaksin yang diberikan kepada anda, maksudnya anda bertuah. Jadi saya nasihatkan anda untuk menerima apa sahaja vaksin yang diberikan kerajaan, kerana ia akan memberi perlindungan yang sewajarnya.

“Jangan pilih apa yang tersenarai. Rebutlah. Sekarang ini amat sukar untuk kita dapatkan vaksin COVID-19 yang boleh menyelamatkan jiwa kita, yang boleh mencegah kita daripada terkena virus dan mencegah kita daripada dilanda ‘Long COVID-19’, sindrom yang amat mencemarkan kesihatan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, penerima vaksin COVID-19 di Malaysia tidak boleh pilih jenama vaksin yang mahu mereka terima apabila Program Imunisasi COVID-19 bermula hujung bulan ini.

Namun beliau memberi jaminan kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan tahap keselamatan semua vaksin yang diberikan kepada penduduk Malaysia, kerana ia perlu melalui tahap piawaian yang ketat oleh NPRA.

Mengulas lanjut, Dr Musa berkata, biarpun buat masa ini masih belum ada keputusan ujian yang konklusif bagi golongan kanak-kanak di bawah 16 tahun, mereka masih boleh dilindungi sekiranya tahap pencegahan kelompok atau immunity herd dapat dicapai antara 70 hingga 80 peratus.

“Kita harap jikalau kita mendapat pencegahan kelompok sebanyak 70 hingga 80 peratus, kita boleh melindungi mereka-mereka yang tidak boleh mengambil vaksin seperti kanak-kanak di bawah 16 tahun.

“Selain itu, ia juga boleh melindungi mereka yang ada penyakit-penyakit comorbidity (lebih daripada satu penyakit), mereka yang tak mahu ambil vaksin dan juga sebab vaksin tidak mencukupi untuk semua orang,” katanya lagi.