KUALA LUMPUR :Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu berhubung COVID-19.

Ini kerana katanya, mereka yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan undang-undang.

"Hari ini tular di media sosial berita palsu yang kononnya 90 peratus individu yang positif telah berkunjung pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang.

"Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya, dan sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang rasmi atau boleh dipercayai.

"Perkara yang belum tentu sahih, jika kita turut sebarkan dan sekiranya ianya didapati tidak benar, anda juga boleh dikenakan tindakan," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)  membuka 273 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan COVID-19, sehingga Rabu.

Daripada jumlah itu, katanya, 136 kes masih dalam siasatan manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah dengan 21 kes didapati bersalah.

"Sementara itu 13 kes lagi masih dalam proses perbicaraan dan 12 kes diberikan notis amaran," katanya

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, lebih 43 peratus separuh daripada 434 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Rabu adalah terdiri daripada mereka yang ingkar memakai pelitup.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP lain termasuk tidak patuh penjarakan fizikal (77 individu), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (83 individu) dan lain-lain kesalahan (86 individu).

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Daripada jumlah itu, beliau memaklumkan seramai 400 individu telah dikompaun sementara 24 individu lagi direman dan 10 individu diberi jamin polis.

Berhubung Ops Benteng pula, katanya, pasukan penguat kuasa  berjaya menahan 37 pendatang aing tanpa izin (PATI) dan merampas 10 kenderaan darat.