SEREMBAN: Jumlah jemaah solat di masjid dan surau di Negeri Sembilan dihadkan mulai esok hingga 7 Jun ini bagi menangani penularan kes COVID-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata arahan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi membendung penularan wabak itu.

Beliau berkata solat Jumaat dibenarkan dengan melibatkan 12 individu sahaja yang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah, manakala solat fardu pula dihadkan kepada tiga orang iaitu imam, bilal dan siak sahaja.

"Kesemua mereka yang dibenarkan solat di masjid dan surau itu perlu mengisi borang kehadiran disediakan, selain azan boleh dilaungkan," katanya kepada pemberita selepas program Pelancaran Bantuan Peduli Palestin di sini hari ini.

Mengenai Bantuan Peduli Palestin, Aminuddin berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Global Peace Malaysia menyasarkan kutipan lebih RM1 juta dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB 8004433398 di atas nama Bendahari Negeri, Negeri Sembilan dengan meletakkan rujukan 'Palestin'.

Beliau berkata Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan, Pejabat Menteri Besar dan Majlis Agama Islam negeri, masing-masing turut menyumbang RM100,000 menerusi program itu.

-- BERNAMA