KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sekali lagi meminda prosedur operasi standard (SOP) bagi upacara pengebumian di negeri itu.

Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pindaan melibatkan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Bagi upacara pengebumian, hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan dan wajib memaklumkan kepada pejabat daerah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan kawalan awam.

“Garis panduan lengkap untuk upacara pengebumian boleh didapatkan dari UNIFOR,” kata Uggah.

BACA: JPBN Sarawak pinda SOP upacara pengebumian

Tambahnya, semua aktiviti sosial dan perhimpunan juga tidak dibenarkan semasa tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan.

Ia termasuk majlis perkahwinan, majlis aqiqah, doa selamat dan sebarang aktiviti dan majlis yang melibatkan perkumpulan orang ramai.

Justeru, JPBN Sarawak mewujudkan komuniti kepolisan bagi membantu membendung penularan COVID-19 di kalangan komuniti.

Penubuhan ini antara lain membantu meningkatkan kesedaran dan membuat publisiti mengenai COVID-19, meningkatkan pematuhan terhadap SOP serta melaksanakan sebarang bentuk sekatan, amaran atau membuat penahanan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Ia akan melibatkan ketua masyarakat, ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kaunselor, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara polis dan Kejiranan Rukun Tetangga (KRT).