MELAKA:Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Melaka yang direkodkan tertinggi di negara Malaysia semalam, dijangka menurun dalam tempoh tiga hari, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, ia boleh dicapai berikutan bilangan kluster yang masih aktif di Melaka mula menunjukkan penurunan.

"Kadar Rt COVID-19 harian Melaka yang mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 1.17 semalam adalah disebabkan 16 kluster aktif yang dilaporkan di negeri ini sepanjang minggu lepas.

"Daripada jumlah itu, Kluster Industri Serkam dan Kluster Tembok Sungai Udang menjadi penyumbang kes positif COVID-19 tertinggi di Melaka ketika ini.

"Majoriti kes positif adalah dari Kluster Industri Serkam iaitu 80 peratus manakala Kluster Tembok Sungai Udang (10.7 peratus).

"Kita jangkakan terdapat sedikit peningkatan kes positif melibatkan Kluster Industri Serkam pada hari ini serta esok manakala kes kumulatif kluster itu telah mencecah 800 kes hingga semalam," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

BACA: Melaka catat kadar kebolehjangkitan COVID-19 harian tertinggi

Bagaimanapun, beliau menjangkakan Rt COVID-19 harian Melaka akan mencatat penurunan dalam tempoh tiga hari lagi selepas saringan Kluster Industri Serkam selesai dilaksanakan.

Berdasarkan infografik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah malam tadi, Melaka mencatatkan Rt COVID-19 harian tertinggi negara diikuti Selangor pada 1.10; Johor (1.09) dan Pulau Pinang (1.07).

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, Melaka pernah merekodkan kadar Rt tertinggi 1.36 pada 24 Januari lalu, dan angka paling rendah ialah 0.96 pada 3 Februari lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat negeri ini supaya sentiasa berwaspada dengan melaksanakan amalan pencegahan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup dan hanya keluar rumah apabila perlu bagi memutuskan rantaian pandemik berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, kilang memproses ayam yang mencetuskan Kluster Industri Serkam yang diarah tutup seminggu, sudah dibenarkan beroperasi hari ini dengan kawalan serta pemantauan yang ketat daripada pihak berkuasa.

Katanya, syarikat berkenaan bagaimanapun tidak dibenarkan menggunakan khidmat pekerja mereka yang sedang dikuarantin.

Untuk rekod, sehingga semalam, Melaka merekodkan 313 kes baharu menjadikan kes aktif sebanyak 1,514 kes dengan keseluruhan 16 kluster.