KUALA LUMPUR: Malaysia terus rekodkan trend menurun bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19.

Angka itu mencatatkan 0.96 pada Jumaat, berbanding 0.97 pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, sebanyak 11 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Sarawak catat kadar tertinggi dengan 1.14, diikuti Perlis, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah, Kelantan, Perak, Kedah, Pahang dan Putrajaya.

Sementara itu, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur catat kadar kebolehjangkitan di bawah purata kebangsaan.

Labuan satu-satunya wilayah yang mencatatkan empat kes baharu COVID-19.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.