Kementerian Kesihatan sedang mengenal pasti kluster baharu yang menjadi penyumbang kepada kes-kes positif COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wujud kemungkinan kluster baharu tersebut berkait dengan kluster jemaah tabligh.

"Sekarang ini, kluster yang kita sedang kesan mungkin kluster yang kita rasa baharu, tapi kalau kita kaji ada kaitan (dengan kluster tabligh).

"Contohnya, (seseorang) hadir majlis perkahwinan dan ada kehadiran jemaah tabligh di situ ataupun dia pergi ke surau atau masjid ada kehadiran tabligh di situ. Secara tidak langsung, ada kaitan.

"Jadi, susah untuk kita nak mengesahkan kaitan langsung. Mungkin kita tak kenal siapa yang datang bersama dengan kita di majlis perkahwinan ataupun dalam surau dan masjid," katanya pada sidang media di sini hari ini.

KKM sebelum ini hanya memaklumkan kluster jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling menjadi penyumbang besar iaitu kira-kir 62 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 di negara ini.

Kluster berkait dengan kes-kes lain masih lagi dalam siasatan mereka.

BACA: COVID-19: 4 kes kematian dalam 24 jam, 212 kes baharu