JOHOR BAHRU: Seramai 396 daripada 779 guru di negeri Johor membuat keputusan untuk tidak mengambil vaksin COVID-19 disebabkan memiliki keraguan.

Sementara baki seramai 383 pula mengambil pendirian untuk menangguhkan pengambilan vaksinasi disebabkan menghadapi masalah alahan, hamil atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Menurut Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, alasan-alasan berkenaan dijelaskan oleh guru-guru berkenaan kepada baginda dalam pertemuan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini, pada Jumaat.

Tunku Ismail bertitah, sebilangan guru di negeri Johor juga telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin.

“Dalam perjumpaan ini juga, saya telah berkongsi info mengenai program vaksinasi di negeri Johor dan situasi terkini pandemik COVID-19 di negeri Johor.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda dalam hantaran di akaun Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor.

 
Sumber Facebook hrhcrownprinceofjohor

Sebelum ini, pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya, Mazlan Bujang berkata, seramai 779 guru di negeri ini enggan untuk menerima vaksin COVID-19.

BACA: COVID-19: Lebih 700 guru di Johor enggan terima vaksin