KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewajibkan pengambilan dos ketiga vaskin COVID-19 bagi memastikan kes baharu tidak terus meningkat.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, langkah ini penting kerana jika tidak dilaksanakan ia boleh memberi masalah kepada sistem kesihatan negara.

Dr Syed Mohamed Aljunid juga menjelaskan cadangan mewajibkan pengambilan dos ketiga itu adalah bagi mengelak meletusnya kluster-kluster baharu.

"Saya rasa ini merupakan satu lagi langkah yang terakhir selain daripada kita memberikan promosi, memberikan nasihat dan sebagainya.

"Tetapi kalau masih lagi ada yang tidak mahu mengambil dos penggalak, terutama sekali mereka yang mempunyai risiko yang tinggi, ini akan menimbulkan banyak masalah kepada sistem kesihatan kita.

BACA: Segera dapatkan dos penggalak, kes COVID-19 semakin meningkat - Khairy

"Mereka ini boleh mencetuskan wabak seterusnya kalau mereka mendapat jangkitan ini dan menyebarkan kepada ahli masyarakat yang lain.

"Jadi saya rasa ini perlu dilakukan seiring dengan aktiviti-aktiviti promosi yang kita lakukan sekarang," katanya menerusi program Agenda AWANI yang membincangkan topik mengenai peningkatan kembali kes COVID-19.

Kes COVID-19 kembali meningkat di Malaysia sejak awal bulan ini dan perkara yang sama berlaku di seluruh dunia sejak empat minggu yang lalu.